Sunday 12 July 2009

Elective: O&G

Hari Pertama:

'Lelaki ni ego sikit...suami akak ada kat luar, dia tak nak masuk teman akak jumpa doktor sebab takut kalau keputusan dia yang tak normal. Akak cakap kat dia, kalau dia yang tak normal tak apa, akak redha...ye lah sebab dia suami kita kan...' keluh seorang pesakit dengan suara yang sayu.

Perbualan yang sekejap bersama seorang pesakit di klinik obstetrik & ginekologi (O&G) Hospital Sungai Buloh ini terhenti di situ apabila seorang doktor lelaki melangkah masuk ke dalam bilik konsultasi itu.

Proses konsultasi antara doktor dan pesakit pun berlangsung seperti biasa, dan saya hanya duduk memerhati di suatu sudut. Perlahan-lahan cuba menangkap bahasa tempatan atau 'layman terms' sambil cuba memahami masalah pesakit tersebut.

Dan pelbagai lagi kisah yang seumpamanya pada hari yang sama. Rupanya-rupanya, ramai juga pasangan berkahwin yang diuji Tuhan dengan kesukaran untuk mendapatkan zuriat.

Hari Kedua:

'Aaa...sakit...sakit ni...' jeritan manja seorang pesakit muda masih terngiang-terngiang di telinga saya. Berulang-ulang kali. Ya, memang lagaknya manja. Masakan tidak, dia baru berusia 15 tahun. Terlalu muda untuk memahami rasa sakit bersalin. Terlalu muda untuk menjadi pesakit di wad bersalin!

Setelah mendengar perbualan antara doktor, jururawat, dan bakal ibu muda itu, baru lah saya mengerti hal yang sebenar. Pesakit merupakan seorang mangsa rogol- tetapi dengan rela. Dia sedang mabuk ketika kejadiaan berlaku, dan sepanjang kehamilan, dia tinggal serumah bersama teman lelakinya, setelah dibuang keluarganya. Ah...panjang lagi kisahnya. Complicated.

Kaku dan terkesima. Pertama kali saya berhadapan dengan kisah masyarakat seumpama itu. Cukup sayu apabila melihat bayi gadis itu yang lahir tidak berapa lama kemudian. Bayi comel yang tidak berdosa itu bakal diserahkan kepada orang yang tidak dikenali pula selepas ini.

Bukan tujuan saya untuk mendedahkan kisah-kisah aib pesakit. Tetapi cukup untuk dijadikan renungan dan pengajaran. Tatkala ada yang susah untuk mengandung, ada pula yang begitu mudah untuk mengandung...

_______________________________________________________

'Keseronokan' saya dan Ika membuat elektif di klinik dan wad bersalin terbatas dengan jumlah pelajar-pelajar UiTM dan pelajar-pelajar elektif wajib dari Rusia yang ramai. Namun ini bukan alasan untuk kami tidak bersaing 'berebut patient' dengan mereka. Terpaksa. Jika tidak, sia-sia sahajalah buat elektif di Malaysia kalau tidak turut 'hands-on', bukan? Assist labour, conduct labour...semua ini tidak mustahil untuk dilakukan oleh seorang medical student di Malaysia, kerana menurut kawan-kawan senior, mereka hanya mampu 'ushar' labour sahaja jika di Dublin. Alhamdulillah atas peluang yang ada, memang tidak saya lepaskan.

Kami juga sempat melihat bayi (neonate) anencephaly yang hanya menunggu masa dijemput Tuhan, dan bayi Down Syndrome yang selama ini hanya tergambar di dalam buku.

Pertambahan doktor-doktor pelatih bermula tahun ini di samping akak-akak jururawat yang ramah juga memudahkan proses pembelajaran kami. Seminggu bersama Jabatan O&G ini banyak memberi peluang untuk kami belajar, dari segi akademik mahupun sebaliknya. Alhamdulillah.

1 comment:

  1. Suhada, sayer pon tgh bwat O&G! eeeep mmg byk issues kan..besnyer kalo dpt borak2 dgn kamu ♥
    minggu nih final week O&G so aku exam ;___;
    doakan aku jd pelajar yg sgt rajen berusehe n pass exam dgn jayernyer please..insyaAllah weekend nih kalo kiter free blh chat/borak2..in the eman time have fun doing your elective thingy dear, I hope you'll get an awesome amount of beneficial clinical experiences HUGS~~

    ReplyDelete