Sunday 29 November 2009

Tentang Wanita

19 KEISTIMEWAAN WANITA

1. Doa wanita itu lebih makbul daripada lelaki kerana sifat penyayang yang lebih kuat daripada lelaki. Ketika ditanya kepada Rasulullah SAW akan hal tersebut, jawab baginda , " Ibu lebih penyayang daripada bapa dan doa orang yang penyayang tidak akan sia-sia."

2. Wanita yang solehah (baik) itu lebih baik daripada 1000 lelaki yang soleh.

3. Barangsiapa yang menggembirakan anak perempuannya, darjatnya seumpama orang yang sentiasa menangis kerana takutkan Allah .Dan orang yang takutkan Allah SWT akan diharamkan api neraka ke atas tubuhnya.

4. Wanita yang tinggal bersama anak-anaknya akan tinggal bersama aku (Rasulullah SAW) di dalam syurga.

5. Barangsiapa membawa hadiah (barang makanan dari pasar ke rumah lalu diberikan kepada keluarganya) maka pahalanya seperti melakukan amalan bersedekah.Hendakla h mendahulukan anak perempuan daripada anak lelaki. Maka barangsiapa yang menyukakan anak perempuan seolah-olah dia memerdekakan anak Nabi Ismail.

6. Syurga itu di bawah telapak kaki ibu.

7. Barangsiapa mempunyai tiga anak perempuan atau tiga saudara perempuan atau dua anak perempuan atau dua saudara perempuan lalu dia bersikap ihsan dalam pergaulan dengan mereka dan mendidik mereka dengan penuh rasa takwa serta sikap bertanggungjawab, maka baginya adalah syurga.

8. Apabila memanggil akan dirimu dua orang ibu bapamu, maka jawablah panggilan ibumu terlebih dahulu.

9. Daripada Aisyah r.a." Barangsiapa yang diuji dengan sesuatu daripada anak-anak perempuannya lalu dia berbuat baik kepada mereka, maka mereka akan menjadi penghalang baginya daripada api neraka.

10. Wanita yang taat berkhidmat kepada suaminya akan tertutuplah pintu-pintu neraka dan terbuka pintu-pintu syurga. Masuklah dari mana-mana pun pintu yang dia kehendaki dengan tidak dihisab.

11. Wanita yang taat pada suaminya, maka semua ikan-ikan di laut, burung di udara, malaikat di langit, matahari dan bulan semua beristighfar baginya selama mana dia taat kepada suaminya serta menjaga solat dan puasanya.

12. Aisyah r.a berkata, "Aku bertanya kepada Rasulullah, siapakah yang lebih besar haknya terhadap wanita?" Jawab Rasulullah SAW "Suaminya." " Siapa pula berhak terhadap lelaki?" Jawab Rasulullah SAW, "Ibunya."

13. Perempuan apabila sembahyang lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, memelihara kehormatannya serta kepada suaminya, masuklah dia dari pintu syurga mana sahaja yang dikehendaki.

14. Tiap perempuan yang menolong suaminya dalam urusan agama, maka Allah SWT memasukkan dia ke dalam syurga terlebih dahulu daripada suaminya (10,000 tahun).

15. Apabila seseorang perempuan mengandung janin dalam rahimnya,maka beristighfarlah para malaikat untuknya. Allah SWT mencatatkan baginya setiap hari dengan 1,000 kebajikan dan menghapuskan darinya 1,000 kejahatan.

16. Apabila seseorang perempuan mulai sakit hendak bersalin, maka Allah SWT mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad pada jalan Allah.

17. Apabila seseorang perempuan melahirkan anak, keluarlah dia dari dosa-dosa seperti keadaan ibunya melahirkannya.

18. Apabila telah lahir anak lalu disusui, maka bagi ibu itu setiap satu tegukan daripada susunya diberi satu kebajikan.

19. Apabila semalaman seorang ibu tidak tidur dan memelihara anaknya yang sakit, maka Allah SWT memberinya pahala seperti memerdekakan 70 orang hamba dengan ikhlas untuk membela agama Allah SWT.


6 JENIS WANITA MALANG

“Jangan engkau kahwini wanita yang enam, jangan yang Ananah, yang Mananah, dan yang Hananah, dan jangan engkau kahwini yang Hadaqah, yang Baraqah dan yang Syadaqah.”

Wanita Ananah:banyak mengeluh dan mengadu dan tiap saat memperalatkan sakit atau buat-buat sakit.

Wanita Mananah:suka membangkit-bangkit terhadap suami. Wanita ini sering menyatakan, “Aku membuat itu keranamu”.

Wanita Hananah: menyatakan kasih sayangnya kepada suaminya yang lain, yang dikahwininya sebelum ini atau kepada anaknya dari suami yang lain.

Wanita Hadaqah: melemparkan pandangan dan matanya pada tiap sesuatu, lalu menyatakan keinginannya untuk memiliki barang itu dan memaksa suaminya untuk membelinya.

Wanita Baraqah: ada 2 makna, pertama yang sepanjang hari mengilatkan dan menghias mukanya, kedua dia marah ketika makan dan tidak mahu makan kecuali sendirian dan diasingkannya bahagianya.

Wanita Syadaqah: banyak cakap tidak menentu lagi bising.

Dicatat oleh Imam Al-Ghazali.

Wednesday 25 November 2009

Burhanuddin Al-Helmy: Nasionaliskah?

Sehari selepas exam (Final Medicine & Surgery, 4th Year UCD), pagi Khamis (9 Zulhjjah) yang tenang.

Sambil membaca berita-berita semasa, saya terjumpa coretan Ibnu Hasyim tentang seorang pejuang tanah air, Dr. Burhanuddin Al-Helmy. Pada pandangan saya sebagai seorang yang meminati sejarah, coretan ringkas dan berinformasi ini tidak harus disiakan.





SETELAH melihat ucapan-ucapan beliau dalam PAS serta peranan beliau sebelum dan selepas menjadi ahli PAS, maka penulis membuat kesimpulan bahawa Dr Burhanuddin bukan seorang nasionalis. Kerana beliau hingga ke akhir hayatnya berada di dalam perjuangan Islam atau gerakan Islam.

Perjuangan Islam, ialah perjuangan yang meletakkan Al-Qur’an dan Al-Hadis sebagai dasar atau teras dalam perjuangannya. Sebelum merdeka sehingga 1957, cuma terdapat dua bentuk gerakan kemerdekaan, tidak termasuk Parti Komunis Malaya yang melanjutkan perjuangan bersenjata apabila darurat diisytiharkan pada Jun 1948.

Pertama:

Ialah, pertubuhan-pertubuhan kebangsaan seperti KMM yang ditubuhkan pada tahun 1938, PKMM yang ditubuhkan pada 1945, UMNO tubuh pada tahun 1946, Parti Negara tubuh September 1951 dan lain-lain. Pertubuhan-pertubuhan ini menggunakan pendekatan dengan meniupkan semangat kemerdekaan Malaya dan kebangsaan Melayu sebagai isu mujarab mereka. Tetapi selepas kemerdekaan, terutamnya akhir-akhir ini, mereka menggunakan isu ekonomi, Islam dan lain-lain.

Kumpulan-kumpulan nasionalis atau kebangsaan ini pula terbahagi dua, kumpulan nasionalis kiri dan nasionalis kanan. Lebih tepat apa yang disebut ‘nasionalis kiri’ sebagai golongan nasionalis yang mengambil pendekatan perjuangkan kebangsaan dan kemerdekaan dengan isu-isu yang agak bertentangan dengan pemerintah atau penjajah waktu itu, seperti KMM, PKMM, Partai Rakyat dan lain-lain. Sedangkan golongan ‘nasionalis kanan’ juga menggunakan pendekatan dengan isu-isu perjuangan kebangsaan dan kemerdekaan, tetapi agak tidak bertententangan dengan kerajaan pada waktu itu. Seperti UMNO, Parti Negara dan lain-lain.

Kumpulan-kumpulan ini tidak meletakkan Islam sebagai dasar perjuangan mereka, bahkan mengambil kebangsaan sebagai teras perjuangan, walaupun kadang-kadang mereka memperalat isu-isu Islam atau agama itu sendiri untuk kepentingan perjuangan kebangsaan mereka.

Kedua:

Ialah pertubuhan-pertubuhan atau gerakan-gerakan Islam. MATA atau Majlis Agama Tertinggi Se Malaya, walaupun ia sayap bahagian Agama Islam kepada PKMM, namun melalui mesyuarat ke 2 pada 23 Februari 1948 di Gunung Semanggul turut membahaskan usul penubuhan sebuah parti politik Islam. Maka lahirlah Hizbul Muslimin pada 14 Mac 1948. Begitu juga PAS yang tubuh pada tahun 1951, adalah sayap agama dalam UMNO, tetapi akhirnya bebas dari induknya itu dan beroperasi sebagai gerakan Islam.

Sebenarnya benih perjuangan gerakan Islam bermula pada tahun 1906 di Tanah Melayu apabila pengaruh gerakan reformis Islam Timur Tengah dibawa masuk oleh beberapa pelajar dari sana ke tanah air. Gerakan ini dikatakan begitu berpengaruh di kalangan masyarakat sehingga berjaya meresap masuk ke dalam PKMM yang melahirkan Hizbul Muslimin. Apabila Hizbul Muslimin diharamkan, gerakan ini meresap pula ke dalam UMNO dan melahirkan PAS. Jadi, gerakan Islam adalah gerakan yang berdiri sendiri bukan lahir dari pertubuhan-pertubuhan kebangsaan atau gerakan nasionalis tersebut. Juga bukan pula ditubuhkan parti politik nasionalis.

Memang adalah suatu pendekatan yang bijaksana amat sesuai di saat rakyat Persekutuan Tanah Melayu yang mahukan kemerdekaan, maka pendekatan yang dibuat oleh gerakan Islam adalah melalui isu-isu kebangsaan Melayu seperti bahasa, jus soli, kemerdekaan yang menyeluruh dan lain-lain. Dalam ‘Falsafah Kebangsaan Melayu’ 1954 oleh Dr Burhanuddin sebelum beliau menjadi ahli PAS, menyebutkan:

Islam memandang kebangsaan itu sebagai suatu alat bukan tujuan. Kebangsaan hendaklah mengambil tempat yang sederhana dan bulat sebagai suatu lambang yang boleh menarik dan menyatukan suatu bahagian tenaga untuk mencapai cita-cita mulia yang besar dan abadi, sebagaimana Islam memandang dunia bukan tujuan, tetapi hanya suatu alat atau tunggangan yang menyampaikan ke akhirat.”

Jadi, Dr Burhanuddin adalah seorang tokoh gerakan Islam yang menggunakan pendekatan nasionalis dalam dakwahnya. Begitu juga tokoh-tokoh PAS peringkat awalan yang lain seperti Tuan Haji Ahmad Fuad Hasan, Tuan Haji Ahmad Badawi (ayah PM Malaysia ke 5) dan yang se angkatan dengannya, menggunakan pendekatan nasionalis yang agak mirip kepada menyokong pemerintah atau parti-parti anak didik pemerintah (penjajah) seperti UMNO dan Parti Negara waktu itu.

Walaupun akhirnya mereka berpecah mengikut perpecahan dalam UMNO, yang mana kumpulan Tuan Haji Ahmad Fuad menyokong Datuk Onn bersama-sama Parti Negara dan Tuan Haji Ahmad Badawi menyokong Tunku Abdul Rahman bersama-sama UMNO. Dr Burhanuddin selepas mengambil alih pimpinan PAS, menggunakan pendekatan nasionalis dan kemerdekaan agak menonjol dan bercanggah dengan parti-parti anak didik pemerintah, yang akhirnya jadi pemerintah seperti UMNO.

Pendekatan in juga sesuai sebagai pembangkang yang terkuat waktu itu, untuk mengaut undi pembangkang. Kepimpinan Dr Burhanuddin dalam PAS bermula dari tahun 1956 hingga tahun 1969. Tetapi perjuangan PAS selepas beliau, iaitu di bawah kepimpinan Datuk Haji Muhammad Asri Haji Muda memilih pendekatan nasionalisme yang agak menyokong pemerintah pula. Mungkin di atas sebab-sebab yang dirasakan sesuai waktu itu seperti

akibat dari bahana peristiwa rusuhan kaum ’13 Mei’, percubaan mengIslamkan kerajaan dari dalam, dan lain-lain.

Walaupun ada juga hasilnya, namun percubaan itu begitu berani dan jauh meninggalkan arena pembangkang, sehingga sanggup bernaung di bawah satu lambang, iaitu ‘dacing’ dalam ikatan bernama ‘Barisan Nasional (BN)’. Kekalahan dalam percaturan politik Datuk Haji Muhammad Asri dengan parti pemerintah mengakibatkan PAS disingkir dari gabungan BN. Kelantan juga berjaya dirampas dari PAS dengan cara yang dianggap’curang’ menyebabkan Datuk Haji Muhammad Asri terpaksa menarik diri dari kepimpinan PAS yang dipimpinnya dari tahun 1969 hingga 1982.

Mungkin Allahyarham Haji Muhammad Asri tidak dianggap tokoh gerakan Islam atau ‘tokoh kebangsaan bertopengkan Islam’ kerana beliau telah menyertai gerakan kebangsaan. Iaitu setelah keluar dari PAS menubuhkan HAMIM yang baru dan akhirnya memilih UMNO. Walaupun begitu PAS di bawah kepimpinan Datuk Haji Muhammad Asri tetap berjalan di atas landasan dasar dan cita-cita Islam. Kini PAS di bawah kepimpinan ulama haraki telah menggunakan pendekatan Islam, sesuai dengan suasana dan iklim masyarakat Malaysia yang majmuk seperti sekarang ini.

PAS berjaya merampas kembali negeri Kelantan bersama-sama Parti Semangat 46 atau kerjasama yang dipanggil Angkatan Perpaduan Ummah (ANGKATAN) dalam pilihan raya 1990. Kepimpinan di bawah ulama haraki bermula dari 1982 hingga 1989 dipimpin oleh Tuan Haji Yusuf Abdullah Ar-Rawi atau Tuan Haji Yusuf Rawa dan Ustaz Haji Fadzil Munammad Noor dari tahun 1989 hingga akhir hayatnya, lalu disambung oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Melihat kepada…
pertama, ucapan dan tulisan Dr Burhanuddin,
kedua, latar belakang pengajian dan perlaksanaan dalam beragama,
ketiga, pengalaman-pengalaman politk Islam di dalam dan luar negeri, dan
keempat, perjuangannya hingga ke akhir hayat dalam perjuangan Islam,
…maka wajarlah beliau disebut-sebut sebagai tokoh gerakan Islam yang bukan seorang nasionalis!


Tambahan

Latar Belakang Dr Burhanuddin

Amir Burhanuddin bin Ungku Muhammad Nor dilahirkan pada 28 Ogos 1911 di Changkat Tualang, Perak. Burhanuddin Al-Helmy mendapat pendidikan awal di kelas Al-Quran dan agama dan sekolah Melayu. Dia dihantar ke Sekolah Agama Sungai Jambu, Sumatra Barat pada tahun 1924 hingga 1926.

Pada tahun 1926, Burhanuddin Al-Helmy meneruskan pelajarannya di Pondok Pulau Pisang, Jitra, Kedah. Seterusnya dari situ ke Madrasah Al-Masyhur Al-Islamiah, Pulau Pinang hingga tamat kelas senawi pada tahun 1934. Burhanuddin Al-Helmy telah mendapat biasiswa seorang hartawan India muslim dari Pulau Pinang untuk melanjutkan pelajarannya di Universiti Aligarh. Di universiti tersebut Burhanuddin Al-Helmy mengambil bidang sastera dan falsafah. Beliau dianugerahkan PhD daripada Universiti Aligarh, India.

Sekembalinya dari pelajarannya di India dan pengembaraannya ke Palestin dan Turki, Burhanuddin Al-Helmy kembali bertugas sebagai guru bahasa Arab di Sekolah Arab Al-Juned Singapura. Ketika di Singapura, Burhanuddin Al-Helmy belajar ilmu perubatan homeopati daripada Dr. Rajah dan beliau telah berjaya mendapat ijazah daripada Ismailiyah Medical College, Hyderabad, India. Dengan kelayakan ini, Burhanuddin Al-Helmy telah membuka sebuah klinik di Johor Bahru dan sebuah lagi klinik di Jalan Picitan, Singapura. Seorang Aktivis Dakwah dan Politik

Pembabitan awal Burhanuddin Al-Helmy:
· Penerbit majalah Taman Bahagia, Singapura
· Penyunting majalah Kehidupan Dunia Akhirat, Singapura
· Ahli Persatuan Jama’atul Islamiah
· Ahli Kesatuan Melayu Muda (KMM), 1939
· Penasihat Adat Istiadat dan Kebudayaan Melayu semasa pendudukan Jepun
· Pemimpin Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung (KRIS), 1945
· Ketua Umum Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), 1945
· Pengerusi PUTERA-AMCJA, 1947
· Ahli Jawatankuasa Perhubungan Bangsa-bangsa Asia, 1947
· Ahli pengasas PEPERMAS, 1947
· Ahli pengasas MATA, 1947
· Ahli pengasas Hizbul Muslimin, 1948
· Wakil Malaya di Persidangan Afro-Asia Bandung, 1955
· Jurucakap Barisan Kebangsaan Melayu, 1955
· Melancarkan penubuhan Parti Rakyat Malaya, 1955

Pengaruh Awal Pemikiran

Semasa belajar di Jambu, Sumatera Barat (1924-1926), Burhanuddin Al-Helmy berada di bawah asuhan Haji Nuruddin, anggota Sarekat islam Indonesia. Di samping itu guru-guru yang mengajar dan mendidik beliau di sana terdiri di kalangan aliran Kaum Muda. Semasa di Madrasah Al-Masyhur Al-Islamiah, Kepala Batas, Burhanuddin Al-Helmy juga terdedah dengan pemikiran Kaum Muda. Aliran inilah yang telah menyalakan semangat anti-penjajah dan pro-kemerdekaan dalam diri beliau.

Semasa belajar di India pula pada tahun 1928, Burhanuddin Al-Helmy mengikuti pergerakan Mahatma Gandhi serta berkenalan dengan Mohd Ali Jinnah dan Pandit Nehru dan pemimpin-pemimpin kemerdekaan India yang lain. Selepas tamat pelajarannya di Universiti Aligarh, India Burhanuddin Al-Helmy telah mengembara ke Palestin dan Turki. Beliau mengikuti perkembangan umat Islam di sana. Ketika di Singapura, Burhanuddin Al-Helmy telah bergiat cergas dalam pergerakan-pergerakan Islam di pulau tersebut.

Beliau menerbitkan majalah Taman Bahagia yang bercorak anti-British yang akibatnya dia ditahan oleh pihak British di sana. Selepas itu, Burhanuddin Al-Helmy terus bergiat pula dengan persatuan Jama’atul Islamiah dan menjadi penyunting majalah Kehidupan Dunia Akhirat.

Ditahan dan Merengkok dalam Penjara

Selepas tamat pelajarannya di India, Burhanuddin Al-Helmy mengembara ke Palestin dan Turki. Semasa di Turki belaiu ditahan kerana terlibat dalam gerakan anti-British di sana. Ketika di Singapura pada pertengahan 1930an, Burhanuddin Al-Helmy telah menerbitkan majalah Taman Bahagia yang bercorak anti-British. Satu jam selepas edisi pertama majalah ini diterbitkan, beliau ditahan oleh pihak British. Beliau dipenjarakan selama enam bulan. Terdapat juga catatan yang menyatakan beliau dibebaskan selepas membayar wang ikat jamin sebanyak $1,000.

Pada tahun 1950, Burhanuddin Al-Helmy telah ditahan oleh British akibat Peristiwa Natrah. Dia dituduh terlibat dalam demonstrasi menentang keputusan Mahkamah Tinggi Singapura yang membenarkan Natrah (Maria Hertogh) dipulangkan kepada keluarga asalnya di Belanda. Dia telah dipenjara selama satu tahun. Namun, terdapat juga catatan yang menyatakan beliau dipenjarakan selama tiga tahun di Singapura ekoran peristiwa tersebut, iaitu dari dari tahun 1950 hingga 1952.

Terdapat catatan yang peristiwa Natrah itu hanya sebagai alasan bagi pihak British menahan Burhanuddin Al-Helmy. Sebenarnya Burhanuddin Al-Helmy ditahan oleh British kerana semasa Darurat pada 1948, beliau menyeru secara terbuka orang Melayu jangan menyerang kaum gerila Cina yang berjuang melawan British di dalam hutan. Peristiwa Natrah hanya dijadikan alasan oleh pihak British. British tidak boleh menahan Burhanuddin Al-Helmy yang bergiat masa itu di Singapura kerana pulau tersebut tidak tertakluk kepada undang-undang Darurat yang hanya dikuatkuasakan di Semenanjung Tanah Melayu.

Burhanuddin Al-Helmy menentang penubuhan Malaysia pada tahun 1963. Ini menyebabkan dia ditahan di bawah ISA pada bulan Januari 1965 kerana dituduh terlibat dalam kerajaan buangan di Riau, Indonesia. Burhanuddin bin Al-Helmy jatuh uzur semasa dalam tahanan. Pada bulan Mac 1966, beliau dibebaskan bersyarat dan dikenakan sekatan kawasan. Di antara syaratnya adalah beliau tidak dibenarkan melibatkan diri dalam politik. Syarat tersebut ditarik balik hanya pada 22 September 1969.

Tokoh Perjuang Kemerdekaan

Dr. Burhanuddin Al-Helmy adalah antara tokoh ulung perjuangan kemerdekaan. Beliau bergiat cergas dalam KMM dengan tujuan menentang penjajahan British. Semasa pendudukan Jepun, Burhanuddin Al-Helmy dan beberapa orang rakannya mengambil strategi licik. Ini diungkapnya sebagai:

”Maka ahli-ahli kebangsaan Melayu kiri telah mengambil langkah Musa dalam istana Firaun. Ada yang tinggal di dalam, ada yang tinggal di luar mengambil bahagian di hutan di ruimba jadi anti-fascist ada yang menjalankan gerakan rayap – semut api – harimau dan sebagainya”

Dengan sokongan pihak Jepun, beliau bersama-sama Ibrahim Yaacob memimpin KRIS membuat persetujuan dengan Seokarno dan Mohd Hatta di Taiping untuk mengisytiharkan kemerdekaan serentak di Tanah Melayu dan Indonesia pada 17 Ogos 1945. Tetapi Jepun menyerah kalah pada 14 Ogos 1945. Seokarno meneruskan rancangannya mengisytiharkan Indonesia merdeka dari Belanda pada 17 Ogos 1945. Dr. Burhanuddin Al-Helmy tidak dapat berbuat demikian memandangkan perkembangan yang amat berbeza di Tanah Melayu ketika itu.

Selepas Jepun berundur, PKMM ditubuhkan sebagai satu kesinambungan daripada KMM. Dr. Burhanuddin Al-Helmy menjadi Ketua Umum PKMM yang pertama. Semasa diadakan kongres PKMM ke-2 di Melaka pada Disember 1946, Dr. Burhanuddin Al-Helmy telah disambut hebat oleh pelbagai lapisan kaum di sana. Dalam ucapan tersebutlah Burhanuddin Al-Helmy melafazkan pantun pusakanya yang terkenal:

Di atas robohan Kota Melaka;
Kita Dirikan Jiwa Merdeka;
Bersatu padulah segenap baka;
Membela hak keadilan pusaka.

Pembabitan Burhanuddin Al-Helmy dalam PUTERA, PEPERMAS, MATA dan Hizbul Muslimin sepanjang tahun 1947-1948 adalah juga dengan tumpuan menyemarakkan perjuang mencapai kemerdekaan Tanah Melayu. Di antara kemuncak perjuangannya menuntut kemerdekaan adalah apabila Burhanuddin Al-Helmy sebagai pengerusinya telah menerajui Sepuluh Dasar PUTERA-AMCJA beserta bendera merah putih duabelas bintang kuning sebagai melambangkan Malaya Merdeka.

Pembabitannya melancarkan Parti Rakyat Malaya sebaik sahaja Ahmad Boestamam dibebaskan dari penjara pada tahun 1955 juga adalah dalam konteks menuntut kemerdekaan Tanah Melayu. Pada masa itu politik kiri adalah bermaksud anti-British. Mereka yang mengambil sikap no-cooperation terhadap penjajah British di anggap sebagai ”kiri”. Sedangkan mereka yang bersikap cooperation seperti UMNO, dianggap ”kanan”.

Menyertai dan Memimpin PAS

Ketika PAS ditubuhkan pada bulan Ogos 1951, Dr. Burhanuddin Al-Helmy masih dalam tahanan penjara di Singapura.

Thursday 12 November 2009

10 Hari Lagi

SVUH agak senyap hari ni. Tak ramai kawan-kawan Irish yang datang sebab sibuk nak berdandan dan bersiap untuk Med Ball malam ni...'The Last Great Masquarade'. Ada pun yang setia menunggu sehingga kuliah lewat petang hanya beberapa kerat kawan-kawan matsaleh yang boleh dibilang dengan jari. Sehingga consultant yang menyampaikan kuliah turut memerli, 'I am surprised...welcome to my lecture. How many of you here? One...two...three...four...' cuba dibilangnya.

Purata belanja adalah Euro400 setiap orang bagi yang perempuan dan Euro50-200 setiap orang bagi yang lelaki untuk kelihatan cantik dan segak untuk majlis Med Ball. Giler kan?! Mungkin ada yang lebih dari itu...bukan mustahil. Itu baru tentang persiapan individu...jika ditanya tentang apa yang lagi berlaku, entah apa-apa lagi cerita mereka...yang terus-menerus berpesta sehingga menjelang subuh keesokan harinya. Itu setakat apa yang saya tahu melalui perbualan dengan mereka. Tidak pernah saya tertarik dengan Med Ball...sejak pertama kali mendengar tentangnya, sejak 1st Year.

Cukup tentang itu. Hari ini juga senyap kerana dua tutorial bed side teachings dibatalkan. Saya tidak pasti kenapa. Hanya satu sahaja yang berjalan seperti yang dirancang. Cara pengajaran daripada seorang tutor yang juga foreigner itu seolah-olah melepaskan batuk di tangga dan diskriminasi pula. Sedang tutor-tutor Irish tidak pernah berlaku sedemikian sewaktu mengajar kami. Hanya menyakitkan hati...ah, usah dikenang!

Terima kasih kepada Pakcik WS di hospital tadi. Peneman dan penceria saya di wad untuk hari ini. Selepas physical examination, saya berkira-kira untuk tamat di situ. Tetapi belum sempat saya meninggalkannya, giliran dia pula bertanya tentang saya. Dari mana asal, sudah berapa lama di bumi Celtic ini, dan soalan-soalan seumpamanya. 'Do you go out with boys?...Do you have a boyfriend?...' Amboi...boleh tahan pakcik ni haha! Saya cuba menjawab sebaik mungkin. Mengenangkan keadaannya yang mungkin kebosanan tinggal di wad tersebut.

Kemudiannya Pakcik WS bertanya tentang poligami yang dihalalkan dalam Islam. Tidak sangka pula dia akan bertanya tentang perkara itu. 'Oh..it is bad isn't it?' tekanya dengan dahi yang berkerut. Hm. Sekali lagi, saya cuba menerangkan sebaik mungkin keadaan itu, sekadar menurut kemampuan berfikir dan berhujah saya. Dan juga faith sebagai seorang believer.


31 Ogos '09 - 20 November '09

Surgery (A) : 4 minggu di St. Vincent University Hospital (SVUH)
2 minggu di Cappagh Orthopaedics Hospital - peripheral

Medicine (1) : 3 minggu di St. Michaels Hospital
3 minggu di SVUH


10 hari sahaja tinggal sebelum pelajar res year med UCD menghadapi peperiksaan Surgery dan Medicine. Oh man...

23 November '09 : Surgery - Short Answer Questions
Medicine - Multiple Choice Questions

25-26 November '09: Medicine - OSCE (8 Stations)


Mungkin cukup setakat ini...saya harus kembali menghadap buku!